18 October 2009

Kisah Allahyarhamah Ibuku Tersayang..Isk isk

Nik Khairiah binti Haji Nik Abdul Rahman..Inilah wanita yang menanggung perit getir mengandungkan aku, melahirkan aku dan membesarkan aku ..Aku tak sempat nak membalas jasanya kerana dia telah pergi meninggalkan aku semasa aku berusia 17 tahun..

Hmmm..dia aku adik beradik panggil Che'..Berita kematian Che' aku terima ketika aku sedang bersiap sedia menghadapi Peperiksaan SPM di KISAS..Pada malam itu, lebih kurang pukul 2 pagi, tak tahu kenapa, aku tak boleh tidur..Aku bangun dan buka buku Prinsip Akaun nak buat latihan..Tak sampai 10 minit, kawan aku naik menyampaikan berita kematian ibuku..

Hmmm, sedih siot ingat balik kenangan tu..Masuk tahun ni, dah masuk 10 tahun arwah Che' meninggalkan aku adik beradik..Di sini aku masukkan sedikit cerita pasal arwah ibuku tersayang ini yang dicoret sama-sama oleh adik beradikku..

Cik Yah Dalam Kenangan
( Hjh Nik Khairiah Hj Nik Abdul Rahman – 1940-1999)


Tanggal 29 Jun 1940, lahirlah puteri sulung pasangan Hj Nik Abdul Rahman Nik Abdullah dan Hjh Che Fatimah Hj Yusuf di Kampung Atas Banggol,Kota Bharu, Kelantan. Cik Yah merupakan anak ketiga dari seramai lapan orang adik beradik ( Ayah Long, Ayah Ngah, Cik Yah, Ayah Chik, Che Ngah, Cek Cik, Ayah Su dan Su) yang terdiri dari empat lelaki dan empat perempuan. Sebagai puteri sulung dalam keluarga, Cik Yah menjalankan amanah sebagai seorang kakak kepada adik-adiknya yang lain sebaik mungkin. Cik Yah disenangi di kalangan keluarga kerana sifatnya yang mudah ketawa dan pandai memasak.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat (SMKANL) yang nama asalnya Madrasatun Naim Lilbanat sehingga Tingkatan 6.Setelah tamat belajar , beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar di Madrasah Muhammadiah yang terletak di bangunan Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan di Jalan Sultan, Kota Bharu iaitu tapak di mana Pustaka Islam didirikan sekarang. Kemudian apabila Madrasatun Naim Lilbanat di tubuhkan dan di pindahkan ke bangunannya sendiri di Jalan Sultan Yahya Petra,Langgar , beliau turut di tugaskan sebagai guru di sana. Beliau bekerja sebagai mu’allimah (gelaran untuk guru perempuan sekolah agama ketika itu)sekitar tahun 1960 selama beberapa tahun.

Beliau dipertemukan jodoh dengan Wan Mohamad Zain bin Wan Yaacob.Beliau adalah anak pertama kepada pasangan Hj Nik Abdul Rahman dan Hjh Che Fatimah yang mendirikan rumahtangga iaitu mendahului dua orang kekandanya. Majlis perkahwinan beliau telah diadakan selama dua hari berturut-turut. Pada hari pertama majlis perkahwinannya, kebanyakan jemputan terdiri daripada sanak-saudara dan kenalan di sekitar Bandar Kota Bharu.Mereka ini dihidangkan dengan kuih-muih mengikut kebiasaan ‘orang bandar’ ketika itu. Manakala jemputan untuk majlis hari kedua pula terdiri dari murid-murid pondok dan orang-orang kampung di sekitar Kota Bharu di mana mereka ini dihidangkan dengan hidangan berat seperti nasi.

Setelah beberapa tahun mendirikan rumahtangga dan mempunyai tiga orang cahaya mata , beliau telah mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana mengikut ayah yang bertukar kerja ke Pasir Mas. Hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, pasangan ini telah dikurniakan dengan lima puteri dan dua putera…Wan Nazihah ( Zizie), Wan Razanah (Rozan), Wan Nawal ( Wa ), Wan Nazilah (Ila), Wan Nor I’zzah ( Ijah ), Wan Mohamad Azman ( Me ) dan Wan Ahmad Fadhli Shah ( Fadhli ). Nama Fadhli adalah cantuman nama yang dipilih oleh Cik iaitu Wan Ahmad Fadhli dengan nama yang dipilih oleh ayah iaitu Wan Ahmad Shah..Terhasillah nama Wan Ahmad Fadhli Shah, anak bongsu yang dlilahirkan di Selangor.

Cik Yah pakar dalam memasak nasi dagang, kuzi, murtabak pisang dan rojak mee..Masih segar di ingatan, setiap kali selepas memasak rojak mee, orang yang pertama Cik Yah akan telefon ialah Ayah Long sebab Ayah Long suka sangat makan rojak mee adiknya itu. Setiap kali menjelangnya hari raya, Ciklah orang yang paling lambat tidur kerana sibuk menyediakan juadah untuk pagi raya. Di kalangan adik beradik ayah pula, mereka sentiasa tertunggu-tunggu sup tulang Cik. Cik.. rindunya nak makan masakan Cik.

Cik merupakan seorang ibu yang tidak suka menghabiskan masanya tanpa sebarang kerja. Setiap waktu ada saja tugasan sebagai suri rumah sepenuh masa yang akan dilakukannya. Bila melihat Cik tertidur di ruang menonton televisyen, bermakna masa tu Cik betul-betul sudah terlalu penat..Semua kerja dilakukan sendiri tanpa merungut dan Cik seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun anak-anaknya sendiri sehingga pernah kami pula yang berasa bersalah kerana membiarkan Cik melakukan semua kerja bersendirian. Pernah Cik menyuarakan kerisauan takut anak-anak perempuannya tak pandai buat kerja rumah kepada ayah.Jawapan ayah ringkas, ` tak pelah, budak-budak tu tengah baca buku..biarlah jangan kacau mereka’. Satu hari ketika Cik membersihkan longkang di belakang rumah, Cik bertanya , ” Siapalah dalam ramai-ramai anak Cik ni hok sanggup buat kerja macam ni?” Cik selalu berpesan kepada anak-anak perempuannya yang bakal mendirikan rumah tangga supaya tidak menjawab bila suami sedang marah dan banyak-banyakkan bersabar dalam melayari bahtera rumah tangga kerana tempoh lima tahun pertama perkahwinan banyak dugaannya”.

Selepas kematian ayah, Cik meneruskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin, kalau boleh semua kemahuan anak ingin ditunaikan tanpa mengira masa, waktu , perasaan dan kemampuan.. Di sebalik semuanya itu, sememangnya tergambar raut kesunyian di wajah Cik tanpa suami di sisi walaupun kehidupannya ketika itu boleh dikatakan hampir sempurna dengan empat orang puterinya telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai kerjaya tetap,dua orang anak di institut pengajian tinggi dan seorang anak lelaki bongsu yang masih menuntut dalam tingkatan lima di Kolej Islam Sultan Abdul Aziz Shah, Kelang.

Sehinggalah tiga tahun selepas pemergian ayah ke Rahmatullah dan sebaik sahaja majlis perkahwinan anak yang keempat telah selamat disempurnakan di Kota Bharu, Cik telah datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis resepsi pada bulan Januari 1999. Sebulan selepas itu, iaitu pada bulan Februari 1999, di rumah Cek Cik, Cik mula mengalami sakit di bahagian perut sehingga kadang-kadang sakit itu sampai ke bahagian belakang badan. Beberapa doktor telah ditemui pada bulan Mac 1999 dan keputusannya tetap sama. Cik hanya diberi ubat untuk keluarkan angin. Selepas Hari Raya Aidiladha pada tahun 1999, Cik mengalami demam panas yang teruk, hilang selera makan dan keletihan. Ayah Su telah mencadangkan agar Cik di bawa ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk pemeriksaan lanjut. Hasil ujian yang dijalankan, doktor menyatakan ada ketumbuhan di bahagian pankreas Cik. Pembedahan terpaksa dijalankan untuk membuang ketumbuhan tersebut. Selepas pembedahan selamat dijalankan, kami dikejutkan dengan satu berita yang sukar untuk diterima..Cik mengidap Kanser Pankreas tahap empat. Kak Jielah orang pertama yang tahu tentang hal ini setelah dimaklumkan oleh pakar bedah sebaik sahaja pembedahan selesai.

Di saat-saat terakhir hayatnya, tidak pernah lekang dari mulut Cik berpesan kepada Abang Pin ( menantu sulung yang sentiasa berada di sisi Cik setiap kali Cik kesakitan melawan penyakitnya) ` Pin, tolonglah tengok-tengokkan adik-adik bila Cik tak dok nanti, tolong deh Pin’. Selama lebih kurang tiga bulan bergelut dengan penyakitnya,Cik telah pergi mengadap Ilahi pada pukul 1.30 pagi 17 Julai 1999 di rumah kami di Kampung Cherang di sisi Kak Jie dan Abang Pin.. Anak-anak Cik dan ayah merupakan cucu Tok Wan yang pertama menjadi yatim piatu..Tak sempat kami nak berbakti pada Cik dan Ayah..Namun itulah ketentuan Ilahi..Mudah-mudahan roh Cik, Ayah, Ayah Long, Ayah Ngah, Cek Ngah, Ayah Chik, Tok Wan dan Tok Wan Haji dicucuri rahmat..Amin.

Untuk pengetahuan adik-adik , anak-anak dan anak-anak saudara, kematian yang berlaku di kalangan adik-beradik Cik agak rapat..Ayah Ngah ( November 1996), Ayah ( Disember 1996), Ayah Long ( April 1997), Cek Ngah ( Mei 1997 ), Cik Yah ( Julai 1999 ), Ayah Chik ( Julai 2000 ) dan Tok Wan ( Oktober 2002).

Sehingga artikel yang tak seberapa ini ditulis, cucu-cucu Cik dan Ayah telah mencecah seramai 21 orang.. Ayah pernah berkata pada Cik `Bila anak-anak kita dah besar dan semuanya dah kahwin, mesti penuh dengan kereta halaman rumah ni setiap kali raya.’ Apa kan daya, Cik dan ayah tak sempat melihat suasana ini..dan suasana ini kini boleh dilihat di halaman rumah Kak Jie di Bachok pada setiap kali raya..

p/s: Isk isk isk..Menangis aku dalam hati..Terima kasih aku ucapkan khususnya kepada Kak Je yang telah memulakan usaha menulis coretan ini..

Perhimpunan Keluarga Tuan Tabal..

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan hadir merasmikan Perhimpunan Keluarga Tuan Tabal pada hari ke 4 Syawal

Hari ke-4 Syawal baru-baru ni, aku menghadiri satu perhimpunan keluarga yang menghimpunkan keluarga moyangku..Moyangku ini dikenali sebagai Tuan Tabal, seorang ulama’ tersohor di Kelantan dan Tanah Melayu ketika itu..Nama sebenar moyangku ini ialah Al-Marhum Haji Abdul Samad bin Haji Mohd Salleh.. Gelaran itu diperolehi kerana beliau berasal dari Tabal atau Tak Bai di selatan Thailand yang suatu masa dahulu berada di bawah Kerajaan Kelantan..

Antara guru-guru Tuan Tabal adalah Sheikh Ibrahim bin Al-Qadhi Salleh Ar-Rashid (Sudan), Sheikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman Al-Fattani, Sheikh Ahmad bin Mohd Zain Al-Fattani dan ramai lagi..Beliau merupakan seorang yang alim dalam ilmu fiqah, usuluddin dan tasauf. Antara hasil karya beliau ialah Munabbahul Ghafilin, Minhatul Qaribul Mujib Wa Mughnir Raaghibin Fi Taqreeb dan banyak lagi..Anak-anak dia turut menjadi ulama’ yang disegani antaranya Allahyarham Haji Wan Musa yang menjadi Mufti Kelantan suatu ketika dahulu..Banyak lagi pasal Tuan Tabal ni.Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh layari forum tuantabal.org..

Ramai gak cucu cicit yang hadir dalam Perhimpunan Keluarga Tuan Tabal di Perdana Resort..

Perhimpunan keluarga Tuan Tabal ini dirasmikan oleh Y.A.B. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan..Menurut YAB Tuan Guru, beliau amat gembira dapat bersama-sama dengan cucu cicit Tuan Tabal yang mana anak-anak Tuan Tabal pernah menjadi rakan seperguruan kepada beliau sendiri..Menurut beliau lagi, walaupun tidak sempat mengenali Tuan Tabal, tapi beliau amat mengagumi Tuan Tabal dengan karya-karya yang dihasilkan..Dan Tok Guru sendiri melalui ayahnya mempelajari salah sebuah kitab yang dihasilkan oleh Tuan Tabal (lupa plak aku nak amik nama kitab yang disebut Tok Guru)..

YAB Menteri Besar menyaksikan persembahan multimedia..

Kegembiraan Tok Guru Nik Aziz menghadiri majlis tersebut dapat dilihat apabila beliau dengan teruja mengesyorkan beberapa tempat yang pernah menjadi pusat dan tempat pengajian ulama’-ulama’ dirakamkan dan dimasukkan sebagai tambahan dalam slide multimedia yang disiarkan sebelum ucapan beliau..Beliau juga sempat menegur agar setiap nama ulama’-ulama’ tersohor yang telah meninggal dunia yang mana disiarkan dalam slide multimedia tersebut disertakan dengan perkataan Al-Marhum atau Allahyarham sebagai tanda menghormati mereka..Teruja aku dengar ucapan Tok Guru..Setiap teguran dan nasihat yang diberikan betul-betul “landing” dan berpijak di bumi nyata..

Keterujaan dan keseronokan Tok Guru dapat dilihat lagi apabila beliau sukar menghabiskan ucapannya dengan mengimbau kembali kisah dan sejarah ulama’-ulama’ terdahulu walaupun telah beberapa kali merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada urusetia program..

Pada majlis itu juga, Tok Guru telah melancarkan logo Pakatan Tuan Tabal dan laman forum iaitu tuantabal.org..Motto Pakatan Tuan Tabal adalah Berilmu,Berbakti dan Beramal..

Seronok gak sekali-sekala hadir program sebegini..Aku terserempak dengan salah seorang staf tempat kerja aku yang juga dari keturunan Tuan Tabal..Tahniah aku ucapkan kepada pakcik aku, Ayah Su, sepupu aku Abe Me dan ramai lagi yang telah bertungkus lumus berusaha merealisasikan Perhimpunan Keluarga Tuan Tabal ini..Tahniah..

09 October 2009

Ibu-Ibu Saudaraku..

Sempena Aidilfiti yang lalu, sempat aku bersama adik beradikku melawat makcik-makcik kami sebelah arwah ayah..terus terang aku katakan aku kurang rapat dengan makcik-makcik aku sebelah ayah ni..Apatah lagi ayah meninggal dunia semasa aku di Tingkatan 2..

So pada hari raya ketiga baru-baru ni, pergilah kami menziarahi mereka (sebenarnya acara ziarah ni acara tahunan keluargaku)..Aku tak pasti makcik sebelah arwah ayah berapa orang lagi tinggal, tp masa pergi ziarah tu ada 2 orang mak sedara yang kami ziarahi..Namanya kami panggil Mok Yoh (mok=mak) dan Mok Ngoh..Mereka ni memang dah berumur..tak silap aku 70++..

Mok Yoh..Menitis air mata Mok Yoh ketika kami datang menziarahi nya..

Umah Mok Yoh bagi aku agak dhaif..Aku rasa kalau orang tak kenal dia, dah boleh masuk rancangan Bersamamu..Tapi sebenarnya dia bukan sebatang kara..Dia ada anak-anak dan semua ada kerjaya yang bagus..Mungkin dah sikap orang tua, suka berseorangan di rumah asalnya menghabiskan sisa usia..Bukan anak dia tak ajak, tapi dia yang tak nak..Mungkin senang nak beribadah tanpa gangguan anak cucu..Masa aku pegi hari tu, Mok Yoh dah start puasa enam..Tapi aku terbayang bagaimana kalau apa-apa menimpa diri Mok Yoh,susah jugak..Dia dok sorang2..Aku tengok masa dia nak buka mangga rumah pun terketar-ketar tangan dia..Boleh ker dia dok sorang? Persoalan aku terjawab bila dia citer yang 3 orang cucu dia duduk sama-sama dengan dia kat umah tu..Ok la tu..

Mok Ngoh..

Mak sedara yang ke-2 dilawati ialah Mok Ngoh..Mok Ngoh tinggal bersama anak-anak dan cucu-cucu dia..Dia sihat tapi sihat cara orang tua, mata tak nampak,, telinga pun dah kurang sket dengar..Semua adik beradik aku dia dah tak cam..Masa salam kena bagitau la nama..Nasib baik la kakak aku yang ke-2, Kak Je ni rajin bercerita..Dia cakapla ni oghe Je (maksudnya suami Je)..ni isteri ni, ni anak tu dan bla, bla, bla..

Itu sahaja yang aku nak cerita..Coretan ni aku tulis masa aku masih lagi bercuti di kampung..Masa ni mood dan feel ada sebab tenang dok kampung, tak pikir pasal keje, relek jer..Kalau dah keje, susah dah nak mencoret macam ni..Feel tadak..Okla..Sayonara..Aku nak tulis citer lain plak..